Wednesday, 24 October 2012

LEPASAN SPM WAJIB JALANI PROGRAM PLKN MULAI 2014


KUCHING: Semua warga negara ini yang berusia 18 tahun, kecuali mereka yang disahkan menghidap penyakit jantung, cacat anggota tubuh badan dan terencat mental, diwajibkan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai 2014.


Serentak itu, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe, berkata pemilihan pelatih bagi program itu yang diguna pakai sekarang akan dimansuhkan dan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun itu, wajib menjalani latihan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mas Gading berkata, semua peserta akan menjalani latihan seperti dilalui peserta ketika ini dan program latihan itu akan mengambil kira perkembangan semasa selepas mendapat pandangan daripada semua pihak berkaitan.


"Kami sedang berdepan dengan kekurangan jurulatih. Sukar untuk mengekalkan jurulatih pelbagai kemahiran kerana mereka biasanya akan ditawarkan dengan pelbagai kemudahan oleh majikan yang memerlukan khidmat mereka," katanya selepas Majlis Penutupan PLKN di Kem Puncak Permai, Tondong, Bau, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi dan Komander kem itu yang menempatkan 369 peserta, Mejar Arazmi Rasit.

Ditanya mengenai tindakan terhadap peserta yang gagal mendaftar masuk PLKN, Tiki berkata, ada kemungkinan mereka akan diserap dalam program khidmat sosial.

Beliau berkata, mereka yang didapati gagal melaporkan diri tanpa alasan kukuh akan diwajibkan mengikuti program khidmat sosial selama tiga bulan.

Katanya, undang-undang berhubung perkara itu sudah dibentangkan di Parlimen dan akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Di PASIR MAS, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata kem PLKN tidak sesuai dijadikan tempat memulihkan samseng jalanan walaupun modul latihannya mencapai antara 80 peratus dan 85 peratus kejayaan ke arah melahirkan modal insan terbaik.

Katanya, ramai menulis surat kepada JLKN dengan memberi pandangan dan cadangan supaya PLKN dibuka kepada samseng jalanan, sekali gus menganggap kem itu amat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat memulihkan golongan berkenaan.

"Saya ingin menegaskan Mat rempit atau samseng jalanan tidak ada tempat di 80 kem PLKN di negara ini," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program PLKN di Kem PLKN Cancun Park, Lubok Jong, dekat sini, semalam.

"Walaupun ramai memberi pandangan dan cadangan supaya membuka PLKN untuk mat rempit, saya ingin menegaskan bahawa program yang diwujudkan sejak 2004 dan melahirkan hampir 500,000 pelatih, lebih menjuruskan kepada melahirkan wira dan wirawati berkeperibadian mulia selain mempunyai jati diri tinggi," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program PLKN di Kem PLKN Cancun Park, Lubok Jong, dekat sini, semalam.




Sumber: Berita Harian


No comments:

Post a Comment